Huruf patah
Huruf patah

Huruf patah

Huruf patah[1] (Bahasa Jerman: gebrochene Schrift "tulisan patah", Bahasa Inggeris: blackletter) atau huruf Gothik (Bahasa Inggeris: Gothic script, Bahasa Itali: scrittura gotica) adalah jenis rupa huruf abjad Rumi yang digunakan dalam persuratan Eropah Barat dari kira-kira 1152 hingga abad ke-17.[2]Kelompok huruf ini dinamakan sedemikian kerana reka bentuk aksara-aksaranya yang tampak "patah-patah" pada lengkungan setiap blok huruf baik pada sebahagian atau keseluruhannya, hasil gerakan menukik tiba-tiba pada saat menulis bahagian tertentu huruf. Rupa huruf ini dilihat para pengkaji Zaman Pembaharuan di Itali sebagai "gasar" lalu dikaitkan dengan orang Goth (Goti)[3][nota 1] meskipun tiada kaitan malah jauh berlainan rupanya dari abjad digunakan untuk bahasa tuturan masyarakat Goth itu sendiri.Rupa huruf ini digunakan terutamanya dalam persuratan rumpun bahasa Jermanik seperti bahasa Denmark, bahasa Norway dan bahasa Sweden selewat tahun 1870-an,[5] serta bahasa Jerman sehingga tahun 1940-an semasa pemerintahan rejim Nazi berikutan ketidaksenangan Adolf Hitler terhadap estetika rupa huruf ini yang dianggap "keyahudian" lalu menghentikan penggunaannya secara rasmi pada tahun 1941.[6]